TERKINI

BANGSA MEMBACA BANGSA BERJAYA.JEMPUTLAH KE PERPUSTAKAAN KAMI..

Sabtu, 25 Februari 2017

TERUSAN TERTUA DI PERLIS.


Sejarah
sumber dari :www.orangperlis.com
Ternyata terusan buatan manusia yang dipercayai terusan tertua seumpama itu di Semenanjung Malaysia bermula di Negeri Perlis. Terusan tersebut dibina melalui kerahan tenaga oleh Almarhum Sultan Dhiauddin Almukaram Shah, iaitu Sultan Kedah ke-15, yang memerintah negeri Kedah dan Perlis (ketika itu Perlis berada di dalam negeri Kedah) antara tahun 1661 hingga 1687.

Sungai atau terusan memainkan peranan penting dalam masyarakat di negara ini sejak beratus tahun dahulu. Ketiadaan teknologi moden untuk membina jalan perhubungan,menyebabkan sungai atau terusan berfungsi sebagai jalan perhubungan pada masa itu. Ada sungai yang memainkan peranan tersebut merupakan sungai semula jadi. Bagaimanapun bagi kawasan yang tidak mempunyai sungai semula jadi dibina pula dengan menggunakan tenaga manusia, sama ada secara sukarela atau secara kerahan tenaga.
Terusan Kota Kayang pada tahun 1996
Sultan Dhiauddin bersemayam di Kota Indera Kayangan yang terletak kira-kira 3km dari bandar Kangar sekarang. Baginda bersemayam di istana tersebut bersama permaisuri yang disayangi. Pada masa yang sama, baginda juga mempunyai seorang lagi isteri yang tinggal di istana baginda di Bukit Pinang, Kedah
tidak jauh dari Alor Setar. Pada masa itu, kawasan di antara Kota Almarhum Kayang dengan istana di Bukit Pinang adalah merupakan kawasan hutan yang amat sukar dilalui. Banyak terdapat binatang buas yang berbahaya jika hendak berjalan kaki melalui jalan darat.
Kini dibina Muzium Kota Kayang di kawasan Kota Indera Kayangan suatu masa dulu
Oleh itu, Sultan Dhiauddin mengarahkan sebatang terusan dibina untuk menghubungkan kedua-dua istana baginda bagi memudahkan baginda berulang alik daripada istana tempat bersemayamnya permaisuri dan tempat persemayaman isteri muda baginda. Masyarakat Melayu sejak zaman dahulu lagi begitu taat dan setia kepada sultan yang memerintah. Mereka sanggup melaksanakan apa sahaja perintah sultan walaupun ia merupakan suatu yang agak membebankan.
Peta menunjukkan laluan terusan dari Kota Kayang hingga ke Bukit Pinang
Para menteri terus bermuafakat bersama penduduk tempatan untuk menjalankan kerja-kerja menggali terusan itu sebagaimana dikehendaki oleh sultan. Dipercayai beribu-ribu rakyat terbabit dalam kerja-kerja tersebut yang mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan sepenuhnya. Walaupun hanya menggunakan “Kedan”, sejenis alat penggali yang diperbuat daripada kayu, akhirnya pembinaan sebuah terusan buatan manusia sepanjang lebih kurang 70 kilometer dari Kota Almarhum Kayang hingga ke Bukit Pinang siap sepenuhnya. Terusan tersebut dibina selebar kira-kira 20 kaki dan dalam kira-kira 8 kaki.
Keadaan terusan berdekatan dengan Muzium Kota Kayang sekarang
Terusan ini bermula dari Sungai Perlis di Kota Almarhum Kayang melalui Titi Serong, Titi Beratap, Behor Mali, Pekan Simpang Empat dan Sanglang di Perlis terus ke Ayer Itam, Alor Changileh, Kampung Che Madi dan hingga ke Bukit Pinang bersambung dengan Sungai Kedah di negeri Kedah sekarang. Apabila siapnya terusan tersebut, sultan begitu gembira kerana dapatlah baginda berulang-alik menemui isteri muda selain daripada tinggal bersama permaisuri di istana Kota Indera Kayangan. Sultan Dhiauddin berulang-alik tinggal di istana Bukit Pinang selama 40 hari dan kemudian tinggal pula bersama permaisuri di Kota Indera Kayangan juga selama 40 hari.
Semasa menaiki sampan untuk berulang-alik ke istana isteri muda di Bukit Pinang, baginda melihat di kiri kanan terusan tersebut terdapat hutan tebal yang begitu subur, ditumbuhi dengan pokok-pokok gelam dan berbagai-bagai pokok hutan lain. Melihat akan keadaan tersebut, baginda teringat, alangkah baiknya jika kawasan hutan tersebut dibuka untuk dijadikan kawasan penanaman padi. Baginda yakin dengan demikian akan menarik ramai rakyat meneroka hutan tersebut dan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.
Perahu salah satu pengangkutan utama pada masa dulu
Ramai rakyat yang membuka kawasan perkampungan di sepanjang pesisiran terusan tersebut dari Kota Indera Kayangan hingga ke Bukit Pinang dan di sekeliling kampung yang dibuka itu merupakan kawasan padi. Sawah padi berkenaan menggunakan sumber bekalan air daripada terusan yang dibina. Dengan demikian ternyata peranan yang dimainkan oleh terusan itu semakin meluas, daripada hanya untuk laluan sultan, kemudiannya menjadi sumber bekalan air ke sawah padi di kiri kanannya.
Tanah sawah yang baru dibuka begitu subur sekali dan lebih menarik minat orang ramai untuk terus membuka kawasan perkampungan serta kawasan-kawasan sawah padi secara lebih meluas lagi. Selain penduduk tempatan, difahamkan mereka yang terbabit membuka kawasan perkampungan di sepanjang terusan buatan tersebut termasuk juga dari sekitar negeri Kedah dan dari wilayah Satun, selatan Thailand yang suatu ketika dahulu berada di bawah pemerintahan Sultan Kedah. Semasa termeterai perjanjian antara kerajaan negeri Kedah dan Thailand yang membawa kepada satu syarat bahawa Sultan Kedah mesti menghantar ufti bunga emas kepada Raja Thai, terusan tersebut menjadi laluan kepada para pembawa bunga emas itu untuk pergi ke Thailand.
Replika bunga emas di Muzium Kota Kayang
Ini terbukti apabila terdapat satu tempat yang menjadi laluan terusan tersebut diberi nama Kampung Bunga Emas. Di kampung berkenaan pula terdapat sebuah perigi dan sebatang pokok Pukul Lima besar yang dikatakan tempat persinggahan rombongan pembawa bunga emas itu untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan.
Keunikan pokok pukul 5 adalah daunnya menguncup sekitar pukul 5 petang
Begitulah besarnya kegunaan terusan buatan manusia itu. Para petani yang hendak membawa padi mereka dari sawah ke rumah juga menggunakan terusan berkenaan yang dimuatkan ke dalam sampan. Mereka yang mempunyai
saudara mara di Kedah dan Perlis juga menggunakan terusan tersebut sebagai laluan menziarahi rumah saudara masing-masing.
Keadaan terusan sekarang di Kampung Bunga Emas
Apabila kampung semakin banyak muncul di sepanjang terusan itu, para penduduk yang tinggal di kampung-kampung tersebut menjadikan air di dalamnya sebagai sumber untuk mandi dan membasuh pakaian setiap hari sementara untuk minuman digunakan air perigi yang digali.
Terusan berkenaan memainkan fungsi tersebut sehingga tahun 1960-an. Ketika kerajaan menubuhkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada awal tahun 1970-an, terusan buatan itu telah dijadikan laluan asas untuk mengalirkan air dari Empangan Muda ke sawah-sawah padi di kawasan utara negeri Kedah hingga ke selatan negeri Perlis. Pihak MADA meluas dan mendalamkan terusan itu supaya lebih berkemampuan mengalirkan air ke sawah padi untuk membolehkan sawah-sawah di kiri kanannya ditanam padi dua kali setahun bagi meningkatkan pendapatan petani.
Sawah padi di samping terusan yang subur dan indah
Sekarang, di tebing terusan itu pula telah dibina jalan raya yang membantu mendekatkan lagi hubungan antara Bandar Alor Setar di Kedah dengan Bandar Kangar di Perlis. Jaraknya hanya kira-kira 24 kilometer berbanding jalan lama dari Kangar melalui Kodiang, Jitra, Kepala Batas dan Alor Setar yang mengambil jarak lebih 40 kilometer. Bagaimanapun, terdapat termpat-tempat tertentu di kawasan terusan tersebut yang telah ditambak untuk dijadikan tapak kedai dan tapak bangunan-bangunan lain.
Kita sangat berharap semua pihak lebih menghargai lokasi bersejarah ini. Adalah tidak wajar terusan yang begitu banyak meninggalkan kesan sejarah dan memberi khidmat kepada raja serta rakyat di Perlis termasuk Kedah ketika itu, dilupakan begitu sahaja. Kawasan sepanjang tebing terusan itu dapat dijadikan kawasan tarikan pelancong khususnya dan kepada mereka yang mencintai sejarah agar dapat menikmati keindahan persekitarannya, juga boleh mengkaji kesan peninggalan sejarah pada terusan berkenaan.
Sumber : Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8

Rabu, 22 Februari 2017

PERTANDINGAN BOLING


Pertandingan Boling Tertutup anjuran Bakerp diadakan pada 19 Feb2016 di MM Boling Kangar.Perpustakaan Desa Simpang Sanglang diwakili oleh En.Mohammad Shah Choh.Tahniah kepada semua pemenang .Semoga pertandingan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara kakitangan perpustakaan Perlis.

Selasa, 21 Februari 2017

MAJLIS PERPISAHAN EN.MOHD ZULKIFLI SALLEH


Majlis penghargaan kepada En Zul kerana jasanya berkhidmat di Perbadanan Perpustakaan Negeri Perlis.terima kasih atas segala tunjuk ajar dan ilmu yang diberi.Selamat bertugas ditempat baru.

Isnin, 6 Februari 2017

INDAHNYA BAHASA

Lagu rakyat negeri Pahang yang mempunyai senikata yang sungguh indah.
Lemak manis oleh Roslan Madun




Dilahirkan di Kg. Durian Tawar, Mengkarak, pada 20 Julai 1952, dan mendapat pendidikan menengah di Raub Pahang. Mula menyelidik dan mempopularkan lagu rakyat pada tahun 1981.  Setelah berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1982, beliau terus memperjuangkan lagu-lagu rakyat, dengan mengadakan persembahan dalam majlis sastera dan majlis rasmi kerajaan di seluruh Negara .  Lagu Lemak Manis nyanyiannya digunakan di sekolah-sekolah dan kem-kem Latihan Khidmat Negara, lagu tersebut juga sering dinyanyikan di majlis keramaian dalam berbagai bentuk, seperti koir dan nyanyian berkumpulan. Lagu Seloka Pak Kaduk pula menduduki carta Hit Gegar THR hampir satu tahun pada tahun 2009. Beliau pernah mengadakan persembahan di luar Negara iaitu di Singapura (1982), di Padang dan Riau Indonesia (1991), di Fukuoka Jepun (1986) dan di Teajon dan Seoul, Korea (1993).  Pada tahun 2000 balik ke Temerloh dan menubuhkan Anggun Performing Arts, anggun telah menjalankan kegiatan kecil dan besar setiap bulan termasuk bengkel2 sastera, teater dan lain2. Festival Temerloh ialah acara terbesar dijalankan dgn kerjasama MPT selama 5 tahun berturut - turut. Bakat - bakat yang lahir dari pelbagai pertandingan bercorak kesenian yang diadakan oleh Anggun kini ramai yang sudah mendapat diploma di ASWARA dan ada yang sedang mengambil ijazah di universiti tempatan.